From the Blog

Santunan Kindness Pahang Untuk Warga Emas

Alhamdulillah..Ketika coretan ini ditulis, bumi Pahang sedang dilanda banjir dan keadaan cuaca agak sejuk diiringi hujan rahmat berterusan. Harapan kami agar petugas banjir sentiasa tegar menjalankan amanah dan kesemua mangsa banjir selamat di tempat pemindahan sementara dan di mana jua berada.

Hari ini adalah hari di mana kami, sukarelawan Kindness Pahang dan rakan-rakan menjalankan tugas dan menyampaikan amanah yang diberi. Kami menghantar barang keperluan harian ke Rumah Kebajikan Seri Permai yang menempatkan warga emas lelaki di Taman Tas, Kuantan.

Kami tiba di lokasi pada jam 12.00 tengahari.  Selesai mengangkat barang-barang, kami berbual dengan sahabat pengurus, Encik Fauzi yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal di Rumah Kebajikan Seri Permai. Pelbagai isu yang kami bualkan, antaranya, keperluan, permasalahan dan cadangan demi kelangsungan penghuni warga tua di rumah ini. 

Projek Koordinator, saudara Shah sempat berbual sambil memerhati 
penghuni Rumah Kebajikan Seri Permai

Kami suarakan hajat di hati kami untuk mendekati warga tua yang terdiri daripada bapa-bapa di sini tetapi atas nasihat Encik Fauzi, kami dinasihatkan untuk melihat warga tua hanya dari luar bilik sahaja. Tidak terdaya rasanya untuk kami menceritakan keadaan mereka. Sekiranya anda ke sini, pasti anda memahami keadaan sebenar mereka.

Pakaian yang perlu dibasuh menggunakan sabun yang disumbangkan

Barang utama yang diperlukan di sini adalah sabun basuh selain biskut, air mineral dan tuala. Ada juga dermawan yang bermurah hati mewaqafkan mesin air untuk kegunaan penghuni di sini.

Sayu hati melihat dari jauh keadaan warga emas di sini

Terima kasih para penyumbang yang menderma dan menghulurkan bantuan setiap kali kami, Kindness Pahang menjalankan aktiviti kebaikan. Semoga semuanya dirahmati dan mendapat berkat dari Allah s.w.t. dan seterusnya dapat menginspirasikan orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan. Terima kasih juga wargakerja Rumah Kebajikan Seri Permai yang menyambut baik kedatangan kami di sini. Walaupun tidak lama, hati kami benar-benar tersentuh dan memberi keinsafan mendalam dengan keadaan di sini.

Bergambar kenangan bersama sukarelawan 
terlibat dan wargakerja Rumah Kebajikan Seri Permai

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ambillah peluang ini untuk kita sama-sama memainkan peranan untuk membantu mereka. Besar harapan kami agar mana-mana badan NGO, badan-badan korporat, rakan-rakan seperjuangan, individu dan masyarakat di luar sana turut bersama membantu meringankan beban mereka.

Didoakan semoga semua penghuni Rumah Kebajikan Seri Permai dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan berpanjangan dan dilancarkan kehidupan. Amin.

Shah Abdul Wahab bin Shah Othman
Projek Koordinator
Kindness Pahang