From the Blog

Projek Minyak Hitam Tarik Masyarakat Untuk Solat Subuh di Masjid

Tahun 2018 ini melihatkan lebih banyak aktviti dijalankan dengan kerjasama masjid. Yang pertama menggerakkan kerjasama dengan masjid ialah Gerobok Rezeki dan alhamdulillah Kindness Malaysia dan Masjid Amru Al As berganding bahu untuk aktiviti kebaikan yang kreatif dengan matlamat untuk meramaikan lagi jemaah masjid.

Antara jemaah Subuh yang sudah hadir untuk Projek Minyak Hitam

Masjid Amru Al As ini terkenal dengan keterbukaannya dan pihak pengurusan masjid ini terbuka kepada idea-idea baru untuk imarahkan masjid. Baru-baru ini telah berlangsung Program Cinta Masjid dengan pelbagai aktiviti yang meriah untuk masyarakat setempat.
Kindness Malaysia telah tampil dengan satu idea baru iaitu Projek Minyak Hitam. Melihat kehadiran waktu Subuh boleh dikatakan memberangsangkan, dengan minima tiga saf, maka tercetus idea untuk beri penghargaan kepada mereka. Mereka yang solat Subuh berjemaah di Masjid Amru Al As terdiri daripada pelbagai peringkat umur, dari muda hingga warga emas. Objektif Projek Minyak Hitam ini adalah sebagai hadiah buat jemaah Subuh dan pada masa yang sama untuk menjadikan buah mulut masyarakat supaya lebih ramai tertarik untuk solat Subuh berjemaah di masjid.
Ustaz Reza bersama anak muda yang solat Subuh berjemaah

Pomen motorsikal yang turut menyumbang untuk Projek Minyak Hitam

Antara jemaah Subuh yang hadir untuk Projek Minyak Hitam

Ada juga suara yang mempertikaikan kelak orang datang Subuh hanya untuk dapatkan ganjaran duniawi. Tetapi kata Ustaz Reza yang juga Bilal di Masjid Amru Al As mengatakan permulaan kita perlu paksa, tetapi lambat laun mereka akan mula merasakan kemanisannya. Alhamdulillah lebih 20 buah motor jemaah Subuh dapat tukar minyak hitam secara percuma. Selain itu ada juga yang tukar penapis minyak, palam pencucuh, kabel break dan minyak gear motorsikal.
Sekalung tahniah perlu diberikan kepada pengurusan Masjid Amru Al As yang terbuka kepada idea baru dan kreatif untuk imarahkan masjid. Terima kasih juga kepada dermawan yang telah menaja aktiviti kebaikan anjuran Kindness Malaysia ini bersama Masjid Amru Al As dan bengkel MSS Motorsport.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia