Projek Backpack 2 di Kuching, Sarawak

Posted on Posted in Uncategorized

Projek Backpack 2 ini adalah kesinambungan kepada Projek Backpack 1 yang berlangsung di Utara Tanah Air. Projek tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya oleh para sukarelawan Kindness Malaysia pada 20 hingga 23 Januari 2017.
Lokasi Projek Backpack 2 kali ini adalah di Kuching, Sarawak. Seramai 14 orang sukarelawan terlibat menyertai projek kali ini bermula dari 24 hingga 26 Februari 2017. Aktiviti yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini disulami dengan aktiviti kebaikan yang akan dilaksanakan bersama masyakarat majmuk di Kuching, Sarawak. Membuat perancangan awal bagi tempahan tiket membantu kami untuk meminimumkan perbelanjaan. 
Sukarelawan membuat keputusan untuk mengambil penerbangan awal bagi memastikan kami menggunakan waktu yang ada dengan sebaiknya. Boarding time pada jam 6.45 pagi bermakna kami perlu bersedia di KLIA2 dua jam lebih awal dari masa penerbangan iaitu pada pukul 4.45 pagi. Keterujaan dapat dilihat kerana ada di antara sukalewan yang sanggup  tidur di KLIA2 untuk menantikan penerbangan pada awal pagi itu.
Hari Pertama (24/2/17- Jumaat)
Hujan lebat menunda waktu penerbangan pada pukul 7.30 pagi sehingga jam 8.10 pagi. Penerbangan yang mengambil masa 1 jam 45 minit tiba tepat jam 9.40 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan selamat.
Sukarelawan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Kedatangan kami disambut oleh wakil Kindness Sarawak Encik Alif atau mesra dipanggil Bob dan Cik Nabila. Kindness Sarawak turut menyediakan pengangkutan berupa sebuah van dan sebuah kereta untuk kemudahan logistik kami. Lokasi pertama yang dituju ialah Sekolah Kebangsaan Gersik untuk menyantuni 400 pelajar serta 20 guru yang menanti kedatangan kami. Pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar darjah 1 sehingga darjah 6 bersedia untuk dikongsi pengisian kebaikan oleh sukarelawan atas aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.
Program dimulakan dengan memberi pengenalan apa erti kebaikan dan kenapa perlu berbuat baik dengan semudah ucapan terima kasih. Kaedah penyampaian santai dan bersahaja dipilih oleh sukarelawan bagi mendekati murid-murid secara rapat. Keseronokan dapat dilihat diwajah adik-adik kerana turut memberi respon yang positif.  Gula-gula dan belon diberikan kepada pelajar-pelajar bagi menambah lagi keseronokan aktiviti kebaikan yang dijalankan. Program diakhiri dengan pesanan dan nasihat supaya mempraktikan apa yang telah disampaikan di rumah dan sentiasa membantu keluarga khususnya ibu bapa.
Bersama adik-adik di Sekolah Kebangsaan Gersik

Rombongan kami seterusnya bergegas pula ke RTM Kuching untuk memenuhi undangan berlintas langsung di Red FM. Kindness Malaysia dan Sarawak diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan aktiviti yang bakal dijalankan di Sarawak secara lintas langsung di konti radio Red FM pada jam 12.30 tengah hari.
Perkongsian mengenai Kindness Malaysia di Red FM, Kuching

Kami tiba di Hotel Place to Stay Riverside pada jam 2.30 petang untuk check in dan berehat sebentar sebelum kami berkumpul di lobi pada jam 3.40 petang untuk aktiviti seterusnya iaitu Projek Petrol.
Projek Petrol yang bermula tepat jam 4.30 petang adalah yang pertama kali diadakan di Sarawak dan mendapat kerjasama dari pengusaha Petronas Jalan Ban Hock, Encik Faizul. Sambutan yang diterima adalah amat luar biasa dan diluar jangkaan. Kira-kira 160 buah motosikal mendapat minyak percuma dari projek ini dengan tema “Minyak ini telah dibayar dengan senyuman”. Pelbagai gelagat mencuit hati yang dapat kami saksikan dan rata-rata teruja dan terkejut kerana menerima minyak secara percuma. Projek berakhir pada pukul 6.30 petang ini turut disertai oleh pihak media dari Sarawak Tribune dan jemputan khas pengurus Petronas Sarawak.

belon percuma untuk gembirakan adik comel 

Projek Petrol di Petronas Jalan Ban Hock

Selesai Projek Petrol, kami ke Waterfront untuk menikmati pemandangan dan makan malam. Kami menaiki perahu tambang untuk ke seberang dan menikmati makan malam, cendol, abc, mee kolok dan laksa Sarawak yang menjadi hidangan utama kami petang itu. Sepanjang perjalanan belon diberikan kepada anak-anak secara percuma oleh sukarelawan bagi mengukir senyuman di bibir mereka.

Belon percuma untuk adik-adik 

Sharing session serta kelas Negotiation and Basic body language

Pada jam 8.00 malam kami menuju ke bangunan TMDC Menara MAA untuk sharing session serta kelas Negotiation and Basic body language yang disampaikan sendiri oleh Pengasas Kindness Malaysia, En Muhammad Bin Kamarulazizi. Sesi kelas itu amat bermanfaat kerana kami di ajar teknik perbincangan dan rundingan dan mengenal asas Bahasa tubuh dan maknanya. Kelas tamat pada jam 10.30 malam.
Cenderahati sebagai tanda penghargaan

Selesai sesi perkongsian ilmu, kami diberi pilihan untuk bersiar-siar atau menuju ke bilik hotel untuk berehat. Yang bersemangat waja tentunya ingin meneroka bandar Kuching. Ada juga memilih untuk berehat dibilik kerana penat seharian.
Hari Kedua 2 (5/2/17-Sabtu)
Seawal jam 7.30pagi kami sudah berada di lobi hotel untuk pergi ke Medan Niaga Satok untuk projek seterusnya iaitu Projek Bundle and Suspended Meal. Sebelum meneruskan aktiviti, kami bersarapan di kedai berhampiran. Antara menu yang dipesan ialah roti bakar, nasi goreng daging, nasi black pepper, mee kolok dan laksa Sarawak. Tidak ketinggalan ada juga yang memesan  telur separuh masak untuk memastikan sentiasa bertenaga sepanjang beraktiviti.
Projek Bundle di Medan Niaga Satok

Projek pertama di Medan Niaga Satok adalah Projek Bundle. Terdapat pebagai pakaian preloved yang masih berkeadaan baik diberikan secara percuma kepada sesiapa yang memerlukam. Alhamdulillah, sambutan diterima baik dan amat menggalakkkan. Kami terpaksa menerangkan kepada pengunjung kenapa pakaian ini diberikan secara percuma.

Pakaian percuma yang sempat dipilih oleh penerima semasa Projek Bundle

Sesi bergambar setelah selesai Projek Bundle
Medan Niaga Satok bertambah meriah dengan gelagat kami

Seramai lebih kurang 10 orang sukarelawan Kindness Sarawak menyertai kami. Projek Suspended Meal dimulakan dengan mengenal pasti gerai yang akan menjadi lokasi projek. Suspended Meal adalah makanan yang kami beli dari peniaga dan diberikan secara percuma kepada pengunjung yang ingin membeli makanan daripada peniaga. Kami berbincang dengan peniaga dan menunggu sehingga ada pengunjung ingin membayar dan kami serahkan nota makanan ini telah dibayar dengan senyuman anda. Keadaan yang mulanya tenang semakin kecoh dengan gelagat pengunjung yang mendapat makanan percuma dari kami dan sukarelawan yang cuba bercakap loghat Sarawak “ Kamik Chia kitak hari tuk” sudah tentu loghat yang cuba kami lontarkan tidak sama dengan loghat asli Sarawak yang bermaksud “saya belanja awak hari ini”.

Sukarelawan sempat membeli belah di Pasar Niaga Satok 

Senyuman dari salah seorang penerima Projek Suspended Meal
Nota comel yang kami berikan supaya kami dapat pulangan berbentuk senyuman 
Gerai Keropok Lekor Senyum yang dipilih sebagai gerai untuk misi Projek Suspended Meal 

Pada jam 12.30 tengahari, kami menuju ke Kampung Telaga Air untuk menikmati makan tengahari. Pilihan makanan sudah tentu yang berasaskan makanan laut seperti ketam, udang, sotong dan sebagainya. Selesai makan kami menyelusuri tebing sungai bagi menikmati pemandangan di tepi jeti. Kami turut mengagihkan gula-gula, lolipop dan belon kepada pengunjung kanak-kanak.

Makan tengah hari kami di Gerai Satang Island
Bersiar-siar di pinggiran Sungai Sarawak

Tepat jam 2.00 petang kami pulang ke hotel untuk menunaikan solat dan mandi sebelum berkumpul semula di lobi pada jam 3.00 petang untuk Projek Petrol seterusnya di Petronas Isthmus Demak. Kami tiba di lokasi pada jam 4.00 petang, dan sudah tentunya sambutan kali ini lebih hebat kerana rata-rata penduduk sekitar Petrajaya sudah mengetahui wujudnya Projek Petrol percuma ini dari Utusan Sarawak dan radio Red FM yang telah berkongsi projek ini sejak awal.
Projek Petrol di hari kedua di Petronas Isthmus Demak
Projek Petrol mendapat liputan di TV1

Turut bersama kami adalah pegusaha Petronas, Encik Faizul,  wartawan dan jurugambar dari RTM.
Kira-kira 200 buah motosikal mendapat manfaat dari Projek Petrol dengan tema “minyak telah dibayar dengan senyuman anda”.  Dari projek pertama di Jalan Bank Hock dan sekarang di Isthmus Demak, kami sangat teruja dan bangga kerana setiap pengunjung yang datang untuk mendapatkan minyak percuma dengan tertib malah mereka menunggu dalam keadaan berbaris tampa perlu diberikan arahan. Orang-orang di Sarawak sangat tertib dan sopan. Sudah hampir dua hari kami di Sarawak, kami tidak pernah mendengar sekali pun bunyi hon kenderaaan dan rata-rata memandu dalam keadaan berhemah.

Hujan renyai-renyai tidak menghalang para penunggang motosikal untuk setia 
beratur menunggu giliran

Nota ini diberi sebagai makluman bahawa minyak petrol anda sudah dibayar dengan senyuman 

Penutup Projek Petrol 

Projek Petrol dalam akhbar Utusan

Selesai tugasan Projek Petrol kami bergegas ke Masjid Taman Husin untuk projek Gerobok Rezeki. Usrah Maghrib disampaikan oleh Pengasas Kindness Malaysia, En Muhammad Kamarulazizi.

Ramai yang terkesan dari penyampaian santai beliau di mana penerangan mengkhususkan apa itu gerobok rezeki dan kenapa ia perlu ada dikalangan masyarakat demi untuk memastikan kita tidak lalai menyediakan keperlukan untuk ahli kariah yang memerlukan. Pengerusi masjid memberikan penjelasan sekiranya barangan gerobok dicuri pihak masjid akan beli lagi, sekiranya dicuri lagi pihak masjid akan membeli semula dan sekiranya gerobok dicuri juga pihak masjid akan menggantikannya semula. Dan inilah praktikal kepada apa yang diperkatakan selama ini untuk menolong ahli kariah atau golongan yang memerlukan.

Projek Gerobok Rezeki di Masjid Taman Husin
Hidangan buat tetamu selepas Projek Gerobok Rezeki dan Usrah Maghrib 

Pada jam 10.30 malam, kami ke uptown untuk Projek Belon. Belon yang diberikan adalah secara percuma kepada pengunjung kanak-kanak bagi menceriakan mereka. Di sini kami bertemu semula dengan beberapa orang murid di Sekolah Kebangsaan Gersik, rata-rata mereka sangat teruja dan apabila ditanya apa yang telah dipelajari semalam, mereka yang dapat menjawab dengan baik telah diberikan belon dan gula-gula sebagai hadiah.

Projek Belon di Uptown Kuching

Hari Ketiga (26/02/17-Ahad)
Pada jam 9.30 pagi, kami ke kedai yang berhampiran untuk membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Sukarelawan mencari cenderahati untuk dibawa pulang

Jam 12.00 tengah hari, kami checkout dari tempat penginapan dan menuju ke seberang iaitu ke Kampung Boyan untuk membeli ikan terubuk masin dan kek lapis Sarawak. Selesai makan tengahari, kami bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk check in dan mengucapkan selamat tinggal kepada Sarawak. Sampai jumpa lagi Sarawak.

check out time!



Siap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur

Sukarelawan selamat mendarat di KLIA2 dan pulang dengan senyuman

Semoga pengisian Projek Backpack V2 di Kuching Sarawak mendapat manfaat buat semua golongan masyarakat serta para sukarelawan yang terlibat. Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang menyumbang dana untuk perlaksanaan Projek Backpack kali ini. Terima kasih warga Sarawak kerana memberi peluang kepada kami utuk mencemar kebaikan di bumi Kenyalang. Warga Sarawak sangat hebat! Terima kasih semua.

Noridah Abd Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia