From the Blog

Pasar Percuma yang Pertama di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur

“Bila Kindness nak buat program lagi di PTG?” kami disapa oleh Encik Amir. Salah seorang petugas di Pusat Transit Gelandangan. Ketika itu saya dan pengasas Kindness Malaysia, Encik Muhammad menghadiri program NGO di Putrajaya. 
Selepas itu kami berkomunikasi menerusi whatsapp dan mendapat tarikh yang sesuai untuk program bersama. 
“Encik Amir, kita buat Pasar Percuma nak?”
“Pasar apa tu?” 
“Pasar percuma ni kita akan letakkan barang preloved atau yang masih baru dan segalanya adalah percuma! Penghuni PTG, rakan jalanan dan semua orang boleh ambil saja hanya bayar dengan senyuman !”
Antara produk yang ada di Pasar Percuma

Sukarelawan bersiap sedia

Bayar dengan Senyuman!
“Menarik tu.. belum pernah ada orang buat di sini. Boleh boleh!”
Susunan program pun bermula. Paling mengharukan sambutan orang ramai yang ingin menyumbang barang masing-masing setelah jadual aktiviti di upload di facebook. Tidak kurang juga yang menawarkan diri untuk jadi volunteer. Program ini dibawah seliaan saya sendiri bersama rakan sukarelawan yang turut menjadi person incharge, Shukur dan Angah. Kami mengagihkan tugas untuk pick up barang dan kendalikan storage seawal sebulan sebelum program bermula. 
Rakan rakan NGO juga menghulurkan tangan membantu. Walaupun projek pasar percuma ini sering diadakan, kalau boleh kami ingin memberikan sedikit kelainan. Memandangkan masih dalam mood perayaan Tahun Baru Cina, Rakan NGO Mustard Seed Soup Kitchen membawa kuih raya dan limau mandarin selain pakaian, kasut dan toileteris. Rakan dari Happy Bank pula, sesuai dengan nama NGO mereka, menawarkan sarapan pagi untuk semua. Alhamdulillah, gembiranya kami. Terima kasih atas tajaan nasi lemak ayam, kuih traditional dan minuman panas untuk 300 orang. Sudah pastilah semua akan lapar kerana program bermula seawal 8 pagi. Boleh lah rakan jalanan bersarapan dahulu sebelum keluar bekerja. 
Tajaan potong rambut pula dari The Gagaks. Barbers yang menggunakan hashtag #goldcut adalah antara kumpulan anak muda yang sering membantu NGO untuk memotong rambut rakan jalanan secara percuma. Paling mengharukan mereka tidak cukup rehat kerana baru lepas bertugas jam 3 pagi dan sambung di PTG untuk membantu kami pula! 
Gunting Rambut Percuma #GoldCut

Mainan princess untuk adik-adik ini

Meriah!

Sukarelawan dari Pelbagai NGO

Pelajar Universiti juga Terlibat
Preloved4charity, Empire Project, Humanity, iGunner, Caring-Hearts dan Happy Caring Hearts Crews turut menyumbangkan barangan keperluan peribadi seperti pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Permainan, eksesori wanita, kasut, shampoo, sikat, beg sekolah, alatulis dan macam-macam lagi. Meriah sungguh dengan suasana seperti di pasaraya. 
Volunteer dari uniKL , uitm dan persendirian turut sama membantu walaupun pertama kali kami bekerjasama, mereka nampaknya tidak kekok dan melayan semua penerima manfaat dengan gembira. Rakan jalanan kita nampaknya juga teruja kerana dapat ‘shopping’ sepuasnya. Senyuman tak lekang dan ucapan terima kasih tidak putus diterima buat kami terharu dan bersyukur kerana dapat menceriakan hari mereka. Sebenarnya pada pandangan biasa, apalah sangat nilai barangan terpakai inikan? Tetapi pada mereka sangat membantu kerana bayangkan jika mereka bekerja dengan purata gaji harian rm10, manakan mereka dapat mengetepikan gaji tersebut untuk membeli pakaian sendiri dan keluarga apatah lagi keperluan peribadi dan permainan tambahan lagi dapat potong rambut secara percuma serta juadah enak untuk mengalas perut. Kami juga dihujani soalan bila lagi program sebegini akan dibuat. Jawapannya pastilah insyaAllah, kami akan teruskan selagi ada donor budiman di luar sana yang sudi menaja! 
Akhir kata terimalah sekalung terima kasih tidak terhingga dari kami sukarelawan Kindness Malaysia atas pertolongan semua. Tanpa sokongan kalian tidak mungkin projek pasar percuma ini dapat dijayakan dengan berkesan. Walaupun program ini nampak kecil dan sifar kos, tetapi impaknya sangat besar kepada rakan jalanan kita! Terima kasih juga kepada kakitangan PTG terutamanya staff dan penghuni kerana memberikan kami peluang melakukan kebaikan di sini.
Semoga bertemu lagi di projek Kindness Malaysia akan datang. Jaga diri dan terus sebarkan kebaikan! Assalamualaikum.

Dari saya,

Erin Ratna Kamal
Pengarah Projek
Timbalan Pengerusi II
Kindness Malaysia