From the Blog

Mencemar Kebaikan di SMK Senawang

Poster rasmi program sebagai hebahan kepada masyarakat

Pada 10hb Februari 2018 bersamaan hari Sabtu yang lepas, Kindness Malaysia telah mengadakan program yang dinamakan Kindness Day, Kayuhan Sihat dan Pasar Percuma dengan kerjasama di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE, Balai Polis Senawang dan beberapa agensi tempatan.
Program dimulakan dengan Kayuhan Sihat melibatkan basikal daripada pelbagai jenis kategori basikal. Para peserta yang terlibat perlu mewaqafkan sebanyak RM2.00 untuk penyertaan kayuhan tersebut. Kayuhan amal ini telah bermula seawal jam 6.30 pagi  di tapak perhimpunan sekolah dengan diiringi oleh eskot anggota polis dari balai polis Senawang dan berakhir sekitar jam 9.00 pagi. Seramai lebih 5000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar, ibu-bapa pelajar serta masyarakat setempat memeriahkan program tersebut. 

Para peserta kayuhan basikal sesama sesi pendaftaran
Kayuhan amal ini selain dapat memupuk sikap suka bersedakah, kita juga dapat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengayuh basikal seterusnya dapat melahirkan anak-anak muda yang sihat dari segi mental dan fizikal demi kemajuan Malaysia sendiri pada masa-masa akan datang.  
Pengetua SMKSE, Tuan Haji Omar turut terlibat dalam Kayuhan Amal
Kayuhan amal dan pasar percuma Kindness Malaysia di SMK Senawang kali ini cukup bertuah kerana turut dihadiri dan dirasmi oleh Yang Berhormat Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan. Malahan, terdapat pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pameran, gunting percuma, cabutan bertuah, acara menangkap ikan keli dan juga minuman milo percuma daripada Nestle. Tidak lupa juga program ini turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna anjuran  rakan NGO iaitu Empire Project.

Yang Berhormat Khairy Jamaluddin berucap memberi sepatah dua kata 

Pasar Percuma ini dimulakan pada jam 11.00 pagi. Tema bagi Pasar Percuma SMKSE ialah “bayar dengan senyuman” di mana transaksi jualan dan belian hanya dilakukan dengan sebuah senyuman dan pembeli boleh memilih apa sahaja barangan atau perkhidmatan yang ada secara percuma. Suasana pasar percuma pada hari tersebut cukup meriah dan dipenuhi dengan senyuman dan keceriaan. Seramai 30 tenaga sukarelawan Kindness Malaysia dibantu lebih 200 pelajar SMKSE serta pelajar UiTM menjayakan program yang terbesar yang melibatkan masyarakat setempat di sekolah ini.

Pengagihan tugas oleh Pengasas Kindness Malaysia kepada sukarelawan 
Perasmian pasar percuma oleh YB Khairy Jamaluddin

Selain itu, pihak sekolah telah menyediakan sebanyak 300 Family Kit berupa barangan asas dapur kepada keluarga pelajar kategori asnaf. Sebanyak 80 syarikat korporat, jabatan kerajaan dan individu persendirian yang turut sama menyumbang pelbagai barangan baru dan terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya dalam menjayakan program Pasar Percuma ini.

Program Kindness Day turut mendapat tajaan minuman milo dari Syarikat Nestle
Sesi penyerahan jersi Kindness Malaysia kepada YB Khairy Jamaluddin

                         YB KJ diiringi saudara Haziq selaku Projek Koordinator Pasar Percuma


Perkhidmatan urut kaki diberi percuma kepada pengunjung

Sesi jualan dan belian yang dibayar hanya dengan senyuman
Penyatuan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan tidak mengira peringkat umur dapat dilihat di sini. Mereka memberi dan menerima dengan hati yang terbuka. Tidak dapat saya jumlahkan berapa banyak senyuman yang terukir di bibir mereka sepanjang berkomunikasi semasa sesi jual beli tersebut. Kerjasama erat di antara semua pihak benar-benar menggembirakan kami selaku penganjur bersama. 

Barangan seperti peralatan mandi dan barangan dapur turut diberi percuma

Program yang dijalankan berdasarkan modul Kindness School oleh Kindness Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar dan guru-guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Sekaligus, menambah keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah dan tenaga pengajarnya. 

Masyarakat setempat menyambut baik pasar percuma 

Pasar Percuma berakhir jam 2.00 petang. Ternyata semua yang terlibat sepanjang program ini amat berpuas hati dan lega kerana dapat menyempurnakan projek penuh bermakna ini. Semoga semua yang terlibat dan masyarakat sekeliling dapat mengambil segala bentuk pengajaran positif hasil dari program seperti ini. Terima kasih para penganjur, pihak sekolah SMKSE dan para pelajar, ibu bapa, para penyumbang yang budiman, rakan NGO, para sukarelawan dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Pasar Percuma kali ini. Semoga kebaikan sebegini terus tersebar dan program seperti ini terus mendapat tempat di hati masyarakat.


Muhamad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia